Wednesday, April 12, 2017

Gadis Ini Bina Empayar Bisnes Selepas Bercerai



Baru-baru ini Nurul Adeline Daud, pengasas produk jagaan kulit K’ Honey, viral di media sosial selepas dia memuat naik video nasihat untuk mereka yang bakal berkahwin. Dia menyentuh soal wang hantaran yang mana padanya ia tidak begitu penting kerana tiada berguna wang hantaran yang mahal jika berakhir dengan perceraian jua.

Menurut Nurul Adeline, dia telah bertahan dalam perkahwinan yang menyeksa mental dan fizikal selama lebih kurang empat tahun sebelum bercerai dengan bekas suaminya. Sejak bercerai daripada perkahwinan di mana mereka tidak sempat dikurniakan cahaya mata itu, Nurul Adeline berasa murung buat sementara waktu. Namun setelah 3 bulan “meroyan di Facebook” (mengikut katanya), dia mengambil keputusan untuk menentukan nasibnya sendiri dengan melakukan sesuatu yang positif. Dia mula menjual sabun madu kelulut selepas diperkenalkan oleh pakciknya, dan dalam masa 8 bulan sahaja dia telah berjaya mengembangkan perniagaannya sehingga mempunyai ramai agen dan stokis mahupun sebelum dia terkenal dengan videonya.



Ketahui bagaimana Nurul Adelin Daud membina bisnes K’ Honey yang kian berkembang maju dengan bermodalkan hanya RM250 hasil menjual alat Vape peribadi miliknya semasa mula berniaga dahulu.

“Seperti yang semua tahu, akak balik kampung ni takde apa-apa. Tiga bulan memula tu akak meroyan kat FB. Kita takde sapa-sapa nak bercerita. Cerita dekat ummi dan abah lain. Masuk bulan keempat, pakcik ada buat sabun madu kelulut. Masa tu kan takde income apa-apa. Terus terpikir nak jual sabun kat FB. Sebab sabun tu berkesan bila akak dengan family pakai.”




Tip #1: Jual Barang Yang Terbukti Berkesan
Nurul Adeline dan keluarganya pernah menggunakan sabun yang bakal dijualnya dan ternyata ia berkesan. Bagi mencari modal untuk membeli batch sabun yang pertama, dia telah menjual alat Vape kepunyaannya (yang menurutnya digunakan untuk mengurangkan rasa tertekan semasa zaman bergaduh dengan bekas suaminya) pada harga RM250.

Dengan modal RM250 itu, dia dapat membeli 30 buku sabun dan mula menjual di Facebook. Alhamdulillah, ramai rakan-rakannya yang memberi sokongan positif dan Nurul Adeline menggunakan keuntungan yang dikaut untuk membeli stok baru untuk meneruskan perjuangan penjualan.




Tip #2: Cari Agen Dan Stokis Untuk Tolong Jual Barang Anda

“Kau rajin kau untung. Kau malas kau rugi. Haaa gitteww…”

Pada masa yang sama, dia juga mencari agen dan stokis secara perlahan-perlahan. Oleh kerana ia merupakan perniagaan online, ianya tidak sukar dilakukan. Dia berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya satu agen atau stokis di setiap negeri di Malaysia, namun bukan kesemua mereka aktif menjual. Bagaimana pun, ia tidak menjadi masalah kepada Nurul Adeline, yang akan menasihati mereka berlandaskan slogan peribadinya dalam menjalankan perniagaannya: No Money No Honey eh… Fast Action Fast Money! Mudah sahaja, padanya siapa yang berusaha dia akan mendapat hasilnya.

Tip #3: Diversify – Pelbagaikan Produk Namun Kekal Original
Setelah berjaya mengumpulkan sejumlah modal, Nurul Adeline memperkembangkan pilihan produk K’ Honey dengan menjual lulur atau scrub pula. Namun dia tidak gelojoh mengeluarkan scrubnya mengikut produk-produk yang sedang popular atau trending. Sebaliknya, dia memerah otak untuk memikirkan sesuatu yang belum pernah dibuat orang.

“Scrub tu puas la fikir. Nak buat scrub apa. Time tu yang famous kopi. Semua buat kopi. Owh tidak, akak bukan penciplak. Akak nak signature akak sendiri. Akak taknak benda sama dengan orang.”

Akhirnya Nurul Adeline memutuskan untuk mengeluarkan scrub yang berasaskan beras merah dan bijirin oat selepas mengkaji sendiri kebaikan bahan-bahan ini dan mencubanya ke atas diri sendiri serta ahli keluarganya.

“Best pakai baru kita keluarkan. Haa gitteww…”
 


Tip #4: Keluarkan Produk Yang Popular Namun Sukar Didapati
Selepas menghasilkan scrub, Nurul Adeline tidak berhenti di situ sahaja. Dia mula fikirkan apa lagi produk yang penting dalam proses merawat kulit. Die membayangkan impian kebanyakan wanita yang inginkan kulit sihat yang nampak flawless dan gebu dan mengkaji lagi. Dia juga mementingkan faktor produk yang organik dan homemade dan melihat kepada produk-produk yang banyak dipromosikan oleh selebriti Barat.

“Owh artis-artis Mat Salleh pakai serum oil. Dia orang famous kot dengan handmade cosmetics. Selamat dari bahan-bahan merbahaya. Tapi produl handmade dia orang memang mahal giler lah.”

Maka keluarlah produk Oils of Magic by K’ Honey yang menggabungkan essential oil (minyak pati) Grapeseed, Sandalwood, Geranium dan Strawberry. Walaupun modalnya agak mahal berbanding menghasilkan sabun dan lulur, Nurul Adeline akur asalkan produk yang dihasilkan natural dan selamat dipakai di kulit. Dia juga telah mengkaji kebaikan minyak pati ini, cara-cara terbaik mendapatkan manfaatnya serta pantang larang yang tidak patut dilakukan, dan memerhatikan bagaimana kesannya ke atas kulit.



Setelah mencuba beberapa formulasi berbeza baru Nurul Adeline berjaya menghasilkan serum yang mujarab. Sekali lagi seluruh keluarganya menggunakan serum ini. Kali ini, dia juga memberi setiap agennya sebotol serum untuk dicuba. Setelah mendapat reaksi positif daripada agen-agennya selepas memakai serum ini selama hampir sebulan, dengan dia sendiri melihat keberkesanannya hasil pemakaian selama dua bulan, baru Nurul Adeline berani mengeluarkan serumnya di pasaran. Dengan ini, telah lengkap set produk jagaan kulit organik yang dikeluarkan oleh Nurul Adeline.

Kata Nurul Adeline, idolanya adalah syarikat-syarikat seperti The Body Shop dan LUSH yang terkenal di UK, Australia dan Korea. Kedua-dua syarikat ini formulasi produk-produk mereka sendiri secara handmade menggunakan bahan-bahan segar – malahan para pengasas LUSH telah membeli sayuran di pasar berdekatan rumah mereka dan mencipta produk-produk kecantikan organik di apartment mereka yang kemudiannya dijual di kedai mereka di tingkat bawah. Pada Nurul Adeline, jika mereka boleh, pasti dia juga boleh!

“The Body Shop tu dulu founder dia jual produk dia kat kedai yang sangat buruk time tu. Kalau dia orang boleh, takkan akak tak boleh? Moral of the story kat sini, nak dengan taknak je dalam hidup ni. Bagi akak, cuba cari idea baru. Contoh ape yang takde kat Malaysia ni lagi? Macam akak nak naikkan produk-produk handmade cosmetics ni. Nak bagi kesedaran dekat orang ramai nak cantik dengan bahan-bahan dari alam semulajadi jer pun boleh. Haa gitteww…”

Tip #5: Perlu Berdisiplin Mengurus Modal
Nurul Adeline menekankan bahawa disiplin teramat penting bila berkenaan modal. Jika tiada disiplin, amat susah untuk berkembang. Seboleh-bolehnya, elakkan daripada perlu membuat pinjaman bank.

Tip #6: Betulkan Niat Bila Berniaga
Pada mulanya niat Nurul Adeline berniaga hanya untuk survive dalam hidup. Alhamdulillah perniagaannya berjaya. Kemudian dia juga tanamkan niat untuk tolong orang.

“Macam kita orang kat K' Honey, kita orang akan selesaikan setiap isu pengguna dengan prihatin. Kita bagi solution sampai kulit dia sihat.”


“Dalam berniaga ni kena bersihkan hati. Jangan ada dengki. Semua support. Rezeki Allah dah tetapkan dah untuk kita. Allah akan bagi yang setimpal dengan usaha kita. Kalau tak berjaya, usaha lagi dan yang paling penting muhasabah diri balik. Mana silap kita. Kenapa Allah tak mudahkan perjalanan kita. Haa gittew. Lagi satu, banyakkan bersedekah. Trust me. The power of Sedekah tu… Allahuakbar… tak terucap dengan kata-kata. Contohnya akak dah takde duit. RM200 je. Pastu ummi kate barang dapur habis. Akak selamber jer habiskan RM200 tu untuk beli barang dapur untuk ummi. Esoknya tu dua orang register jadi agen. Dapat la RM1200 . Nampak tak? Nampak tak? Hati tu kena bersih. Hati tu la punca kepada semua benda yang akan datang. Baik Buruk semua bermula dari hati kita, macam mana kita menjaga hati kita.”

Nah! Gadis ayu ini telah membuktikan bahawa dia berjaya membina bisnes walaupun baru melalui peristiwa hitam dalam hidupnya dan hanya mempunyai modal yang sangat kecil berjumlah RM250 semasa bermula. Jika dia boleh memajukan diri walaupun tanpa modal besar serta pengalaman, apa pula alasan anda?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjutmengenai produk K’ Honey sila ke laman Facebook mereka. Kami tak cerita tentang K’ Honey di sini, kami cerita tentang pengasasnya, Nurul Adeline. Kalau cerita tentang produk sekali nanti lebih panjang pula post ini hihihihi.


*petikan daripada Nurul Adeline telah diambil daripada akaun Facebook kepunyaannya dan telah diedit agar lebih jelas dan mudah difahami

** yes, dia masih single tetapi tidak mencari pengganti. Lupakan sahaja niat anda itu wahai lelaki, biarkan dia bina empayar niaganya dahulu

All images are owned by Nurul Adeline Daud and are copyright to her

2 comments:

  1. **terbatal niat suci murni lelaki nak menyahut sunnah menyunting janda kaya menjadi isteri heueheueu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha memang! Ramai betul lelaki-lelaki yang nak try. Relax dulu, baru setahun kot dia bercerai.

      Delete