Thursday, June 8, 2017

Jom Bermalam Dalam Khemah Glamping Di Pulau Bintan


Pernah tak terfikir nak pergi bercuti ke Bintan? Ada apa di Bintan? Ada macam-macam!

Pulau Bintan yang merupakan salah satu pulau dalam gagasan Kepulauan Riau, Indonesia terletak lebih kurang 60-70 kilometer sahaja dari Kota Tinggi, Johor (anggaran untuk mereka yang mahu berenang ke Bintan). Cara paling cepat ke sana adalah dengan menaiki feri, di mana anda boleh ambil feri dari jeti Berjaya Waterfront yang akan membawa anda ke terminal Sri Bintan Pura di mana perjalanan di laut mengambil masa lebih kurang sejam setengah.

Tiket Feri:
RM144++ (Dewasa)
RM86++ (Kanak-Kanak)
(Tidak termasuk cukai pelabuhan dan surcaj minyak)

Bagaimana pun, jika anda mahu ke The Canopi, resort yang menawarkan penginapan dalam khemah yang glamour ni, adalah lebih baik anda ke Terminal Feri Tanah Merah di Singapura untuk menaiki feri ke Terminal Bandar Bentan Telani di Lagoi kerana dari sini ke The Canopi cuma mengambil masa beberapa minit menaiki shuttle yang disediakan oleh resort secara percuma (dah masuk dalam harga bilik le tu). Jika anda ke Terminal Sri Bintan Pura, anda perlu memandu selama satu jam lebih lagi untuk ke The Canopi. Tak tahulah kenapa tiada perkhidmatan feri dari Johor Baru terus ke Lagoi. Kan senang.

Tiket Feri Singapura - Bintan - Singapura
Dari RM180 (Dewasa), RM154 (Kanak-kanak)

The Canopi Resort di Treasure Bay, Bintan

Terasa begitu teruja sekali melihat kamar beradu berkonsepkan khemah mewah, atau istilah terkenalnya iaitu glamping (Glemer + Camping, you know), di Pulau Bintan ni. Biasanya khemah mewah begini banyak di safari di Afrika, Australia, Argentina, Amerika dan lain-lain negara-negara jauh yang bermula dengan huruf A.

Khemah-khemah yang boleh ditempah di sini termasuk Garden Tent, Safari Tent, Lagoon View Tent, Lagoon View Deluxe Tent yang dilengkapi dengan jakuzi, dan Glamping Deluxe Tent yang punyai jakuzi serta skuter eletrik seperti Segway untuk digunakan selama berada di sini.

 Rekaan dalaman berkonsep safari. Suka tengok almari dia.

 Bestnya berendam dalam jakuzi.

Rasa macam dalam video klip Wildest Dreams Taylor Swift pula

Glamping Deluxe Tent dilengkapi skuter macam Segway untuk kegunaan tetamu

Harga Bilik:
Bermula daripada RM448 semalam untuk dua orang

Aktiviti-Aktiviti Di Sini

Dah sampai di The Canopi, tidak perlu berjalan jauh-jauh untuk aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan kerana semuanya ada di sini. Antara aktiviti yang boleh dilakukan termasuk:-

BUMPER BOAT DI CRYSTAL LAGOON

BERKAYAK DI CRYSTAL LAGOON

MENAIKI JETOVATOR

WATER SPORTS PARK

GELONGSOR AIR SLIP N SLIDE

FUN RIDE MENAIKI KERETA KLASIK

MENUNGGANG MINI ATV UNTUK KANAK-KANAK

GALERI MENEMBAK AIR SOFT GUN


dan macam-macam lagi! Banyak sangat nak letak di sini. Bagaimana pun, setiap aktiviti berbayar, namun harganya agak berpatutan.

Makanan Halal Di The Canopi
Di The Canopi ni ada The Patio Bar and Restaurant dan Warna Warni Restaurant. The Canopi merupakan resort yang telah diberikan Crescent Rating Taraf 5, yang bermaksud restoran di hotel ini mempunyai sijil Halal, dan juga boleh memberi maklumat waktu solat serta arah kiblat dan cadangan restoran-restoran Halal berdekatan.

Masjid Raya Sultan Riau di Pulau Penyengat

Hotel-Hotel Lain Di Bintan
Selain The Canopi, anda mungkin juga berminat untuk menginap di salah satu hotel berikut (klik nama hotel untuk lihat harga di Agoda.com):-

Angsana Bintan
Crescent Rating: 5

Village Resort Grand Lagoi, Bintan
Crescent Rating: 5

Banyan Tree Bintan
Crescent Rating: 4

Apa Itu Crescent Rating
Crescent Rating merupakan pengiktirafan tahap "Halal" sesuatu tempat yang diberikan untuk menunjukkan tahap kesesuaiannya untuk pengunjung beragama Islam. Hotel yang mempunyai Taraf 1 hingga 3 mungkin dapat memberi maklumat mengenai waktu solat, kiblat dan makanan Halal berdekatan namun ia tidak menyediakan makanan Halal.

Hotel dengan Crescent Rating Taraf 4 pula mungkin ada menyediakan makanan Halal namun tiada sijil halal, sementara hotel bertaraf 5 mempunyai dapur atau restoran yang telah mendapat pensijilan Halal. Hotel-hotel dengan pengiktirafan Taraf 6 dan 7 pula memang sangat sesuai untuk pengunjung Muslim.

Untuk ketahui dengan lebih lanjut lagi mengenai hotel dan makanan Halal di Bintan serta mengenai Crescent Rating, sila ke laman web Halal Trip ataupun ke laman web Bintan Resorts.

2 comments:

  1. The Canopi ni merupakan projek syarikat Malaysia .. 😁

    ReplyDelete